Menu

Kota Makkah

Makkah terletak di bahagian barat negara Arab Saudi, di bumi Hijaz, di lembah yang dikelilingi oleh bukit bukau dari semua penjuru. Kawasan rendah disekitar Makkah dinamakan al-Bat-haa, dibahagian timur Masjidilharam dinamakan al-Ma'lah, di bahagian barat dan selatan dinamakan al-Masfalah atau al-Misfalah.

Rasulullah saw merupakan daripada kalangan penduduk di bahagian al-Ma'lah. Baginda lahir dan tinggal dikawasan tersebut sehinggalah berhijrah ke Madinah, kemudian memasuki semula Makkah sewaktu pembukaan kota Makkah pada tahun ke 8 Hijrah melaluinya.

Makkah mempunyai 3 pintu masuk, iaitu al-Ma'lah (dikenali juga dengan nama al-Hujun atau al-Hajun), al-Masfalah dan al-Syubaikah.

Secara geografinya, Makkah terletak pada ketinggian 277 meter (910 kaki.) daripada aras laut. Bandar raya ini terletak di antara gunung-ganang yang telah ditakrifkan pengembangan kontemporari bandar raya ini. Bandar raya ini berpusat di sekitar Masjid al-Haram (tempat paling suci). Sekitar kawasan masjid terdapatnya kawasan bandar lama. Jalan-jalan utama di situ adalah Al-Mudda'ah dan Sūq al Layl ke utara masjid dan As-Sūg as Saghīr ke selatan.

Kota Makkah terletak 600km dari kota Madinah dan lebih 200km dari kota terminal utama ke Makkah iaitu Jeddah. kota ini terletak di kawasan lembah yang sempit serta dikelilingi oleh gunung-ganang dengan bangunan Ka'abah sebagai titik tengah kota. Suhu pada musim panas di kota ini adalah sangat panas dan mencecah sehingga 40 °C (104 °F).

Nama dan Kelebihan Kota Suci Makkah
  1. Makkah - Ertinya membinasakan atau mengurangkan.
  2. Bakkah - Ertinya memecah, mencarik atau menunduk.
  3. Ummul Qura - Ertinya ibu kampung atau kota.
  4. Al-Balad - Ertinya negeri.
  5. Al-Baldah - Ertinya negeri iaitu Makkah.
  6. Al-Baladul Amin - Ertinya negeri yang aman.
  7. Haraman Amina - Ertinya tanah haram yang aman.
  8. Ma'ad - Ertinya tempat kembali.
  9. Al-Qaryah - Ertinya negeri
  10. Al-Masjidilharam - Merujuk kepada beberapa tempat iaitu Kaabah, Masjidilharam, Makkah seluruhnya dan Seluruh Tanah Haram.
Sempadan Tanah Haram Makkah

Tanah Haram Makkah ialah jarak yang melingkungi Masjidilharam dari segenap penjuru. Allah s.w.t menjadikan hukum Tanah Haram sama dengan Makkah sebagai memuliakannya. Tanah Haramini telah diharamkan oleh Allah s.w.t semenjak dijadikan bumi sehinggalah ke hari kiamat.
  1. Al-Tan'im. Iaitu jalan keluar menuju ke Madinah. Ia terletak berdekatan dengan Masjid Sayidah Aishah r.ha. Jaraknya ialah 7.5 km.
  2. Adhaat Libn. Kini dikenali dengan nama Uqaisyiah iaitu jalan menuju ke arah Yaman. Jaraknya ialah 16km.
  3. Al-Syara'i. Terletak pada jalan menuju ke Masjid Ji'ranah. Jaraknya ialah 16km.
  4. Al-Hudaibiyyah. Iaitu jalan lama menuju ke Jeddah. Jaraknya ialah 22km. Jalan baru sekarang dikenali dengan nama al-Syumaisi.
  5. Jabal Namirah. Jaraknya ialah 22km mengikut jalanraya dan 15km mengikut jalan lurus pejalan kaki.

Kota Madinah

Ketika zaman Rasulullah SAW dan Khalifah Ar-Rasyidin, Masjid Nabawi tidaklah memiliki sebarang bentuk menara. Orang yang pertama sekali membina menara Masjid Nabawi ialah Umar bin Abdul Aziz pada tahun 93 Hijrah, iaitu dengan mendirikan empat menara masjid yang berketinggian lebih kurang 27.5 meter pada empat sudut. Kemudian diikuti Qaitbay dengan membangunkan menara kelima di Babur Rahmah. Kelima-lima menara Masjid Nabawi ini terus dipertahankan sehinggalah tiga buah menaranya diruntuhkan untuk memberi laluan kepada projek Perluasan Saudi Pertama. Kemudiannya tiga menara yang diruntuhkan telah diganti dengan dua buah menara baru setinggi 72 meter. Lalu pada Projek Perluasan Saudi Kedua ditambah lagi dengan 6 buah menara Masjid yang setiap satunya berketinggian 104 meter, tinggi hilal 6 meter dan beratnya mencecah 4.5 tan. Sehingga kini Masjid Nabawi mempunyai 10 buah menara masjid. Perlu juga diketahui bahawa tinggi menara Masjid utama ialah 44.53 meter, sedangkan menara di Pintu Salam (Babus Salam) adalah setinggi 38.85 meter.